RSS

Tag Archives: Agama

Perlukah Memilih Guru?

Assalammualaikum,

Ilmu yang mulia adalah ilmu yang diturunkan dari langit ke bumi yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad salallahu-alayhi-wasallam. Ilmu ini berupa al-Quran dan hadis Nabi salallahu-alayhi-wasallam. Ia diikuti dengan ilmu-ilmu pengetahuan yang lain. Ketahuilah! Sesungguhnya agama Islam ditegakkan berdasarkan ilmu dan pengetahuan. Oleh kerana itu, tidak semestinya seorang muslim itu jauh daripada cahaya ilmu, bahkan mesti mengambilnya daripada warisan nabi. Dan kita memahami bahawa ulama itu adalah pewaris nabi, dan wakil para rasul.

Allah berfirman, “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-Alaq: 1-5).

Hikmah Nabi salallahu-alayhi-wasallam menerima wahyu daripada Jibril a.s. Ini menunjukkan bahawa ketika wahyu diturunkan buat pertama kali kepada Nabi salallahu-alayhi-wasallam jelaslah kepada kita bahawa malaikat Jibrail a.s. merupakan guru yang pertama bagi Rasulullah salallahu-alayhi-wasallam. Dengan ini jelas dan dapat difahami bahawa setiap sesuatu ilmu itu mestilah ada guru yang benar-benar alim, faqih, serta mantap dalam segala displin ilmu pengetahuan.

Malaikat Jibril a.s. memeluk Nabi salallahu-alayhi-wasallam dengan kuat. Ini bertujuan memberikan wahyu dan ilmu yang disampaikan dengan bersungguh-sungguh dan kepayahan.

Kelebihan ilmu dan faedah pengetahuan menjelma dalam wahyu yang pertama. Dengan kata Iqra, maka kita mendapat ilmu hidayah dan cahaya.

Ini merupakan kalimah yang pertama kali diturunkan kebumi yang menganjurkan untuk kita mencari ilmu dan mengajak untuk mencapai ilmu pengetahuan.

Dalam ilmu pengetahuan terdapat kebaikan hidayah dan juga cahaya. Sesiapa yang tidak dapat membaca maka ia telah terhalang daripada kebaikan yang sangat banyak.

Risalah dan dakwah Nabi salallahu-alayhi-wasallam dimulakan dengan ilmu dan pengetahuan serta peradaban. Sesiapa yang menyangka bahawa dirinya akan mendapat petunjuk dan mendapat kedudukan yang tinggi tanpa ilmu, maka dia tidak akan faham, dia telah tersilap dan menyimpang daripada jalan yang lurus.

Allah berfirman, “Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kamumnya apabila mereka telah kembali kepadanya , supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.” (At-Taubah: 122)

Ayat ini menggabungkan dorongan untuk belajar dan mengajar dengan perintah untuk menuntut ilmu dengan seorang guru yang benar-benar alim, faqih serta mantap dalam segala ilmu pengetahuan.

Allah befirman dalam erti kata untuk mendorong manusia untuk bertanya dalam urusan agama yang yang dirasakan sulit untuk difahami, kepada ulama yang mengamalkan ilmunya. Firman-Nya, “Maka bertanyalah kalian kepada orang yang berilmu jika kalian tidak mengetahui.” (Al-Anbiya’: 7)

Imam Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad r.a. pernah mengatakan, “Bertanya itu adalah kunci yang dapat menyampaikan seseorang kepada makna-makna ilmu dan rahsia-rahsia ghaib yang ada dalam dada dan hati. Sepertimana seseorang tidak akan dapat menjumpai barang-barang dan harta benda yang berharga di dalam rumah, kecuali dengan menggunakan kunci yang diperbuat daripada besi dan kayu. Demikianlah pula seseorang tidak akan dapat sampai kepada ilmu dan pengetahuan yang ada pada ulama, tetapi dengan pertanyaan-pertanyaan yang ditujukkan untuk mengambil manfaat yang disertai dengan kesungguhan, keinginan, dan adab yang baik.” (Manhaj as Sawi, Syarh Usul at-Toriq as Saadah al Bala’wi).

Muhammad bin Sirin dan Malik bin Anas mengatakan, “Ilmu adalah agama maka lihatlah dengan siapa kamu sekalian menimba agamamu.”

Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi pula berkata, “Tanda seorang guru alim yang dapat dipercayai, yakni orang yang engkau ingin mengambil ilmu agama daripadanya adalah takut kepada Tuhannya dan tanda takut itu boleh dilihat pada perbuatannya. Jika engkat tidak mendapatinya sedemikian, maka tinggalkan dan jangan mengikutinya. Tetapi janganlah berburuk sangka kerana engkau tidak melihat rasa takut pada dirinya, yang merupakan syarat ilmu berdasarkan firman Allah, “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama.” (Fathir: 28)

Inilah di antara penerangan-penerangan kenapa menuntut ilmu berlu berguru supaya setiap manusia tidak tergelincir dalam menyampaikan ilmu pengetahuan lebih-lebih lagi ilmu agama.

Maka seharusnya penuntut ilmu mencari guru yang benar-benar dapat menunjukkan mereka jalan mengenal Allah seperti sahabat-sahabat Nabi salallahu-alayhi-wasallam yang mengenal Allah melalui Nabi Muhammad. Semoga Allah menerangi kita semua dengan ilmu-Nya Yang Maha Luas.

Dipetik dari majalah Q&A keluaran isu perdana. Tulisan oleh Ust. Ahmad Lutfi Abd. Wahab Al-Linggi.

Advertisements
 
Leave a comment

Posted by on March 23, 2013 in Islam

 

Tags: ,

Jawapan Mengenai Saka Oleh Tn. Guru Dato’ Haron Din.

Saka adalah suatu istilah yang biasanya digunakan oleh tukang ubat atau bomoh tradisional yang merujuk kepada suatu fenomena gangguan spiritual yang berlaku ke atas manusia kebanyakannya kaum wanita dan ada juga lelaki, yang mengaitkannnya dengan makhluk yang kononnya diamanahkan menjaga seseorang. Bagi tujuan menjaga tersebut maka berbagai-bagai gangguan spiritual berlaku. Gangguan seperti ini dikenali sebagai gangguan makhluk halus.

Saka dikaitkan dengan kononnya ada makhluk yang berdampingan dengan keturunan bapa, ibu, datuk atau nenek seseorang yang menjaga atau bersahabat dengan makhluk ini dan dipesan kepada makhluk tersebut selepas kematiannya untuk menjaga dan mengawal anak cucu mereka.

Hasil daripada itu maka berlaku kawalan, sebenarnya gangguan ke atas orang berkenaan sehingga menimbulkan masalah yang diistilahkan sebagai saka.

Saya tidak dapat menentukan apa sebenarnya saka. Betul atau tidak ia makhluk yang mendampingi manusia dan keturunan mereka diganggu sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Jika benar ianya (makhluk halus) sebagai sahabat, kawan atau dampingan orang-orang terdahulu, maka sepatutnya ia tidak berubah sekadar hanya menjaga dan melindungi anak cucu seseorang, tiba-tiba berlaku sebaliknya sehingga menyakiti dan menganggu sampai menjadi separuh gila atau separuh sedar.

Saya tidak nampak hal ini sebagai saka yang digunakan untuk menjaga dan mengawal seseorang untuk kebaikan. Jika berlaku begini, maka tidaklah menimbulkan masalah walaupun hukum asalnya bersahabat, berbuat baik, berdampingan dengan makhluk halus dilarang oleh syariat Islam.

Banyak ayat-ayat al-Quran yang menggesa manusia menjauhi dan berlindung diri daripada syaitan. Malah manusia wajib menjadikan syaitan sebagai musuh dan sebagainya.

Berbalik kepada seseorang yang diganggu oleh makhluk halus, maka jelas ia adalah musuh kerana ia menyakiti manusia, menganggu manusia dan melakukan perkara yang tidak dingini oleh manusia, ianya memberikan kesan negatif.

Kita mesti menjauhi mereka, benda yang dinamakan saka ini tidak menjadi sesuatu yang baik kepada manusia. Dirawatlah dengan cara-cara yang diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan saka ini terus menerus menganggu manusia.

Adapun Qareen adalah istilah al-Quranul karim yang jelas Allah S.W.T menyebut dalam beberapa ayat seperti dalam Surah Qaf (ayat 23), Surah al-Fussilat (ayat 25) dan lain-lain.

Di antara makna-maknanya, Allah menyebut (mafhumnya), “Dan kami tetapkan bagi mereka, teman-teman yang menjadikan mereka memandang bagus apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka. Dan tetaplah atas mereka keputusan azab pada umat yang terdahulu dari jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang meragui.”

Istilah teman-teman dalam al-Quran adalah pada asal perkataan Qurana atau kawan-kawan setia. Maksudnya adalah dari suku sakat syaitan atau iblis ini menjadikan manusia sebagai teman mereka.

Firman Allah (mafhumnya), “Dan berkatalah Qareennya, inilah catatan amalan yang tersedia pada sisiku.” (Surah Qaf, ayat 23).

Dan Surah Qaf, ayat 27 bermaksud, “Yang menyertai dia, Qarennya berkata pula,”Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya, tapi dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh.”

Ini merujuk kepada perkataan Qareen. Allah S.W.T menyifatkannya sebagai kawan rapat bukan kerana manusia hendak sangat berkawan dengan mereka, tetapi pada pandangan sesetengah ulama, sejak manusia dilahirkan ada makhluk halus yang mendampinginya, mengajak, memandu serta mempengaruhinya melakukan kejahatan. Itulah yang dimaksudkan sebagai Qareen.

Dalam hadis daripada Ibnu Mas’ud r.a, bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w bersabda (maksudnya), “Setiap orang daripada kamu, ada bersama dengannya qareen (syaitan) daripada jin. Sahabat bertanya, apakah Rasulullah juga mempunyai qareen, baginda menjawab, ya, saya pun ada qareen itu, cuma Allah S.W.T membantu saya, dapat mempengaruhi qareen itu sehingga dia telahpun Islam dan dia berdamping dengan saya, dia tidak mendorong saya membuat sesuatu melainkan semuanya untuk kebaikan.” (Riwayat Muslim).

Hadis daripada Ai’shah r.ha berkata,”Suatu ketika Rasulullah s.a.w berada bersama dengan saya, lalu keluar meninggalkan saya kerana ada suatu urusan pada malam hari, tiba-tiba timbul cemburu dalam diri saya, apabila Rasulullah s.a.w kembali menemui saya, baginda mengetahui perasaan saya itu, maka baginda bertanya, apakah gerangan mu wahai Ai’shah? apakah kamu cemburu? Maka saya menjawab, manalah orang seperti saya ini tidak cemburu ke atas mu wahai Rasulullah s.a.w. Maka Nabi menyebut kepada saya, apakah kamu telah dikuasai oleh syaitanmu wahai Ai’shah. Maka saya menjawab, ya Rasulullah, apakah bersama saya ada syaitan? Rasulullah menjawab, ya, malah pada tiap-tiap insan ada syaitannya. Saya bertanya kepada Rasulullah, apakah kamu juga ada syaitan? Jawab baginda, ya, tetapi Allah S.W.T telah membantuku, aku Islamkan dia dan tidak menyuruhku melainkan untuk kebaikan.”

Hadis-hadis sebegini adalah hadis sahih, ia menunjukkan memang berlaku bahawa qareen, ia adalah syaitan, mendampingi semua manusia. Kalau Rasulullah s.a.w pun didampingi oleh qareen ini, inikan pula insan biasa.

Oleh yang demikian, jelas bahawa qareen ini ada pada setiap orang dan bergantung kepada seseorang insan itu, jika ia belum boleh menguasai dirinya dengan kerja-kerja ketaatan sehingga tidak ada ruang untuk melakukan kemaksiatan maka qareen ini seolah-olahnya putus asa untuk mengajaknya melakukan kejahatan, melainkan sekali sekala sahaja.

Adapun orang-orang yang mudah mendedahkan dirinya kepada melakukan perkara yang tidak baik, khasnya melakukan kemaksiatan, maka qareen inilah yang menjadi pendorong utama. Pada pandangan saya qareen adalah makhluk halus yang jahat.

Jika hendak dikatakan saka, hanya sekadar mengatakan ianya wujud ada, maka tidak salah mengatakan kita semuanya ada saka, tetapi saka yang saya maksudkan adalah saya yang sedia ada, bukan kerana dipelihara oleh keturunan, bukan disuruh oleh seseorang melakukannya tetapi kerana tabiat makhluk ini memang sentiasa berusaha menjerumuskan manusia kepada kejahatan. Wallahua’lam.

 
Leave a comment

Posted by on December 7, 2011 in Uncategorized

 

Tags: