RSS

Monthly Archives: March 2013

Perlukah Memilih Guru?

Assalammualaikum,

Ilmu yang mulia adalah ilmu yang diturunkan dari langit ke bumi yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad salallahu-alayhi-wasallam. Ilmu ini berupa al-Quran dan hadis Nabi salallahu-alayhi-wasallam. Ia diikuti dengan ilmu-ilmu pengetahuan yang lain. Ketahuilah! Sesungguhnya agama Islam ditegakkan berdasarkan ilmu dan pengetahuan. Oleh kerana itu, tidak semestinya seorang muslim itu jauh daripada cahaya ilmu, bahkan mesti mengambilnya daripada warisan nabi. Dan kita memahami bahawa ulama itu adalah pewaris nabi, dan wakil para rasul.

Allah berfirman, “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-Alaq: 1-5).

Hikmah Nabi salallahu-alayhi-wasallam menerima wahyu daripada Jibril a.s. Ini menunjukkan bahawa ketika wahyu diturunkan buat pertama kali kepada Nabi salallahu-alayhi-wasallam jelaslah kepada kita bahawa malaikat Jibrail a.s. merupakan guru yang pertama bagi Rasulullah salallahu-alayhi-wasallam. Dengan ini jelas dan dapat difahami bahawa setiap sesuatu ilmu itu mestilah ada guru yang benar-benar alim, faqih, serta mantap dalam segala displin ilmu pengetahuan.

Malaikat Jibril a.s. memeluk Nabi salallahu-alayhi-wasallam dengan kuat. Ini bertujuan memberikan wahyu dan ilmu yang disampaikan dengan bersungguh-sungguh dan kepayahan.

Kelebihan ilmu dan faedah pengetahuan menjelma dalam wahyu yang pertama. Dengan kata Iqra, maka kita mendapat ilmu hidayah dan cahaya.

Ini merupakan kalimah yang pertama kali diturunkan kebumi yang menganjurkan untuk kita mencari ilmu dan mengajak untuk mencapai ilmu pengetahuan.

Dalam ilmu pengetahuan terdapat kebaikan hidayah dan juga cahaya. Sesiapa yang tidak dapat membaca maka ia telah terhalang daripada kebaikan yang sangat banyak.

Risalah dan dakwah Nabi salallahu-alayhi-wasallam dimulakan dengan ilmu dan pengetahuan serta peradaban. Sesiapa yang menyangka bahawa dirinya akan mendapat petunjuk dan mendapat kedudukan yang tinggi tanpa ilmu, maka dia tidak akan faham, dia telah tersilap dan menyimpang daripada jalan yang lurus.

Allah berfirman, “Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kamumnya apabila mereka telah kembali kepadanya , supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.” (At-Taubah: 122)

Ayat ini menggabungkan dorongan untuk belajar dan mengajar dengan perintah untuk menuntut ilmu dengan seorang guru yang benar-benar alim, faqih serta mantap dalam segala ilmu pengetahuan.

Allah befirman dalam erti kata untuk mendorong manusia untuk bertanya dalam urusan agama yang yang dirasakan sulit untuk difahami, kepada ulama yang mengamalkan ilmunya. Firman-Nya, “Maka bertanyalah kalian kepada orang yang berilmu jika kalian tidak mengetahui.” (Al-Anbiya’: 7)

Imam Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad r.a. pernah mengatakan, “Bertanya itu adalah kunci yang dapat menyampaikan seseorang kepada makna-makna ilmu dan rahsia-rahsia ghaib yang ada dalam dada dan hati. Sepertimana seseorang tidak akan dapat menjumpai barang-barang dan harta benda yang berharga di dalam rumah, kecuali dengan menggunakan kunci yang diperbuat daripada besi dan kayu. Demikianlah pula seseorang tidak akan dapat sampai kepada ilmu dan pengetahuan yang ada pada ulama, tetapi dengan pertanyaan-pertanyaan yang ditujukkan untuk mengambil manfaat yang disertai dengan kesungguhan, keinginan, dan adab yang baik.” (Manhaj as Sawi, Syarh Usul at-Toriq as Saadah al Bala’wi).

Muhammad bin Sirin dan Malik bin Anas mengatakan, “Ilmu adalah agama maka lihatlah dengan siapa kamu sekalian menimba agamamu.”

Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi pula berkata, “Tanda seorang guru alim yang dapat dipercayai, yakni orang yang engkau ingin mengambil ilmu agama daripadanya adalah takut kepada Tuhannya dan tanda takut itu boleh dilihat pada perbuatannya. Jika engkat tidak mendapatinya sedemikian, maka tinggalkan dan jangan mengikutinya. Tetapi janganlah berburuk sangka kerana engkau tidak melihat rasa takut pada dirinya, yang merupakan syarat ilmu berdasarkan firman Allah, “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama.” (Fathir: 28)

Inilah di antara penerangan-penerangan kenapa menuntut ilmu berlu berguru supaya setiap manusia tidak tergelincir dalam menyampaikan ilmu pengetahuan lebih-lebih lagi ilmu agama.

Maka seharusnya penuntut ilmu mencari guru yang benar-benar dapat menunjukkan mereka jalan mengenal Allah seperti sahabat-sahabat Nabi salallahu-alayhi-wasallam yang mengenal Allah melalui Nabi Muhammad. Semoga Allah menerangi kita semua dengan ilmu-Nya Yang Maha Luas.

Dipetik dari majalah Q&A keluaran isu perdana. Tulisan oleh Ust. Ahmad Lutfi Abd. Wahab Al-Linggi.

Advertisements
 
Leave a comment

Posted by on March 23, 2013 in Islam

 

Tags: ,